Tuesday, September 1, 2009

Ramadhan Kareem...

Ramadhan mendidik jiwa dan rohani juga menjadi tempoh rehat yang cukup baik bagi sistem penghadaman kita yang tidak henti-henti bekerja sejak 11 bulan yang lalu. Selain daripada puasa secara zahiriahnya, iaitu menahan lapar dan dahaga, puasa juga perlu diperluaskan kepada mental (cara berfikir), emosi (pengendalian dan pengawalannya) dan ruhi.

Menurut Sheikh Said Hawwa di dalam kitabnya al-Mustakhlas fi Tazkiyatun Nafsi, terdapat enam syarat tambahan yang perlu diberi perhatian oleh orang yang benar-benar berhajat meninggikan kualiti puasanya:

a. Memejamkan mata serta mengekangnya jangan sampai memperluas, atau memperdalamkan penglihatan, yakni melihat dengan berlebih-lebihan kepada segala sesuatu yang tercela dan tidak baik dan dibenci oleh agama. Demikian pula melihat apa saja yang menyebabkan hati terpesona, sehingga lalai daripada mengingati Allah.

b. Menjaga lisan dari perkataan yang tidak masuk akal atau senda-gurau yang melampaui batas, atau berkata kotor, atau berkata yang sia-sia, atau berdusta atau mengumpat, atau mengadu domba atau berkata jijik, atau bertengkar atau memamerkan diri sendiri. Sebaliknya hendaklah diam atau mengurangkan bicara yang tidak perlu dan menyibukkan diri dengan berzikir kepada Allah gemar membaca al-Quran atau kitab-kitab agama.

c. Menahan diri dari mendengar apa yang tidak disenangi dari ukuran agama, sebab setiap perkara yang haram diucapkan maka menjadi haram mendengarnya.

d. Menahan anggota-anggota tubuh yang lain dari perbuatan dosa khususnya tangan dan kaki jangan sampai melakukan hal-hal yang terlarang menurut kacamata agama. Begitu juga menahan perut dari makan apa-apa yang bukan sahaja haram tetapi juga yang syubhat, terutama di saat berbuka puasa.

e. Menahan diri dari terlalu banyak makan atau menyediakan pelbagai makanan ketika berbuka, sekalipun makanannya halal, sehingga perut sekan-akan tidak memuatnya lagi. Sebab tiada wadah yang lebih dibenci oleh Allah daripada perut yang penuh terisi. Puasa ialah untuk mematahkan segala macam kesyahwatan, maka adakah orang yang puasa itu wajar memupuk kembali syahwatnya ketika berbuka? Sepanjang hari ia menekan nafsu maka ia adakah bermaksud membalas dendam nanti pada waktu berbuka?

f. Pada siangnya, masih ketika berpuasa, ia membeli ini dan itu yang berupa makanan dan waktu berbuka akan dihabiskan semua sekali. Maka tujuan puasa untuk melemahkan nafsu syahwat tetap tidak berhasil. Sewajarnya, sediakan lah makanan dan makanlah sekadar seperti mana hari-hari biasa pada bulan lain, tanpa berlebih-lebihan atau mengistimewakannya sehingga merangsang lagi nafsu.

g. Hendaklah hatinya menggantung harap dan takut mengenai diterima atau tidak puasanya hari itu. Hatinya berdebar-debar dan tidak tenteram; kerana belum ada kepastian. Jika diterima, pasti termasuk dalam golongan almuqarrabi n yang mempunyai pelbagai keistimewaan. Jika tidak, maka pasti tergolong ke dalam golongan yang tertolak amalannya, lagi dimarahi dan dimurkai- Nya. Orang yang tertipu oleh dirinya sendiri mengira ibadatnya pasti diterima, padahal ada kemungkinan tidak demikian. Nanti pada hari kiamat ia akan terkejut mengapa Allah tidak menerima amalannya!

Selamat Memburu Lailatul Qadr...

1 comment:

ijalceritera said...

Syukran cikgu atas tip-tip ini. Minta maaf cikgu, atas segala kesalahan kami dan doakan kami berjaya dalam percubaan dan SPM. Happy Ramadhan!