Friday, August 21, 2009

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan..

Alhamdulillah..

Kekasihku datang lagi..
Seperti saban tahun yang lalu...
Datang membawa limpahan rahmat...
Juga janji keampunan...
Dan perlindungan dari azab neraka...
Datang dengan kegembiraan..
Segala kebaikan dan kebajikan digandakan...
Segala syaitan dan bisikan thaghut dijauhkan..
Datang dengan hadiah..
Datang dengan hidayah..

Kekasih yang kurindui..
Datang dengan malam Al-Qadr..
Malam seribu bulan..
Temukan aku Ya Allah..
Dengan malam sakti itu..
Temukan aku Ya Allah...

Kekasihku datang lagi..
Dan aku menanti dengan tangan terbuka..
Agar bisa kudakap
erat...rapat..

Ya Allah...
Berkati dan rahmati saudara-saudara seagamaku,
di Palestin, Afghanistan, Iraq, Mindanao, juga di mana jua mereka
bertebaran atas muka bumiMu
dalam Ramadhan Kareem yang penuh barakah ini...

P.S: Salam Ramadhan kepada semua..
Perbanyakkan sedekahmu dalam bulan yang mulia ini
Jangan lupakan anak2 yatim, fakir miskin, mualaf dan mereka yang kurang bernasib baik di sekeliling kita...

Thursday, August 20, 2009

Tuk Wan...Kembali Menghadap Ilahi

Tuk Wan Brahim telah pergi jam 9.30 a.m tadi. Dimaklumkan oleh Abah pagi tadi semasa aku masih di sekolah...sempat bertanya bila Tuk Wan akan dikebumikan, mengenangkan masa yang akan diambil lebih kurang 7 jam untuk kami tiba di Alor Setar dari KL. Abah dengan tenang menyabarkan, tak perlu bergegas kata abah, hadiahkan fatihah untuk Tuk Wan...Kak Yang di Melaka juga tak dapat pulang menziarahi jenazah lantaran tiada doktor lain yang dapat menggantikan tugasannya pada saat-saat akhir...

Terkilan sungguh dalam hati kerana niatku balik beraya tahun ini ingin menziarahi semua sanak saudara termasuklah Tuk Wan yang dah hampir 2 tahun tidak ketemu..nyata niatku tak kesampaian...

Semoga Allah merahmati rohnya dan menempatkan dia dalam golongan kekasih-kekasih Allah..

Al-Fatihah..

Friday, August 14, 2009

Ustaz Asri..Pergi Tak Kembali


3 Ogos yang lalu, Ustaz Asri genap 40 tahun...tidak disangka-sangka, dua minggu tepat selepas ulangtahun kelahirannya, dia dipanggil pulang menghadap Ilahi...terkedu, kelu dan sedih...semua bercampur baur dalam diri...kebetulan salah seorang guru di al-amin mempunyai hubungan rapat dengan Ustaz Asri, sebaik sahaja mendapat berita ustaz Asri rebah di RTM, kami di al_amin terus dimaklumkan walaupun pihak media belum lagi mendapat makluman sebenar...hati rasa enggan mempercayai namun hakikat sebenar harus ditelan...

Beliau adalah antara pahlawan nasyid yang hebat...kuat semangat dan tegar berdakwah menerusi genre nasyid...terlalu besar jasanya...semoga Allah menempatkan beliau dalam kalangan kekasih-kekasih Allah...

Sukarnya mencari ganti insan bersuara emas seperti ustaz...peminat-peminat nasyid pasti merinduinya...Ya Allah, berkatilah ruhnya, ganjarilah dia atas segala usaha dakwahnya, dan muliakanlah dia dan keluarganya...Amin

Thursday, August 13, 2009

Erti Sebuah Kesihatan...



Sihat pada kebanyakan orang bermaksud bebas dari penyakit. Sihat juga dikaitkan dengan kecergasan fizikal dan kecerdasan mental. Bagi diriku, sihat itu bermaksud keseimbangan atau equilibrium yang tercapai antara fizikal, mental dan rohani. Yang mendasari kesihatan itu sebenarnya adalah kekuatan pada unsur roh. Apabila rohani sihat, ia akan terpancar pada jasad dan pemikiran. Dalam istilah homeopati (subjek elektif yang kuambil semasa di tahun dua) sakit atau penyakit itu berlaku apabila terjadinya 'untuned of the vital force'. Gangguan pada 'vital force' atau roh akan dimanifestasikan dalam bentuk penyakit.

Masalah orang kita sekarang ini, setiap kali diuji dengan kesakitan atau penyakit, maka ubat-ubatan sintetik itulah yang dicari, ditelan. Ubat-ubat itu sebenarnya bukanlah pengubat kepada penyakit sebenar tetapi hanya memadamkan 'manifestation of the disease'. Kerana itu, perubatan konvensional hanya mampu memadamkan simptom tetapi tidak merawat penyakit itu secara holistik. Malah meninggalkan pula kesan sampingan ke atas organ hati. Dalam banyak keadaan berlaku pengulangan pada penyakit yang sama. Perkara itu bukanlah sesuatu yang pelik kerana pada dasarnya apabila manifestasi penyakit yang dirawat, bukan penyakit sebenar, maka ia akan timbul pula dalam manifestasi yang lain pada masa akan datang.

Manusia terbina dari entiti fizikal dan rohani. Perubatan konvensional hanya mampu mengubati entiti fizikal tetapi tidak dapat menembusi entiti rohani. Bertuah jika doktor yang merawat turut mentarbiah pesakit tentang rawatan berbentuk ruhi seperti meningkatkan taqarrub kepada al-Khaliq, juga memahamkan pesakit bahawa penyakit itu suatu kaffarah atas dosa-dosanya yang lampau. Jika dia bersabar, maka keampunanlah yang bakal diperoleh. Malangnya, itu semua tidak berlaku. Yang biasa dituturkan oleh para doktor, "Awak habiskan antibiotik ni. Kalau tak baik juga, awak jumpa saya semula. Saya akan perscribe antibiotik yang lebih kuat." Astaghfirullah....seolah-olah hanya antibiotik dia sahaja yang mampu menyembuhkan penyakit si pesakit. Pernah juga aku berhadapan dengan seorang oncologist yang dengan angkuh berkata,"Setakat ni, chemotherapy adalah rawatan terbaik untuk merawat kanser!" Really? Kalau macam tu, mengapa ada pesakit kanser yang mati akibat tidak tertanggung kesan chemotherapy itu atas jasadnya? mengapa pasti berlaku pengulangan kes? mengapa kesembuhan tidak berlaku secara holistik? dia tidak dapat menjawab...

Satu kajian yang pernah dilakukan ke atas pesakit-pesakit kanser mendapati mereka pernah atau sering menghadapi tekanan atau stress yang berterusan, gagal merasai ketenangan dan sentiasa dihambat kesibukan. Jika dikaitkan dengan unsur 'vital force', memang antara tanda gangguan pada 'vital force' ini ialah kegelisahan, keresahan, kesedihan yang berpanjangan, dendam kesumat yang tersimpan juga perasaan kebencian yang meluap-luap. Dan jika berterusan akan menyebabkan 'the untuned of vital force' yang dimanifestasikan dalam bentuk penyakit kronik. Justeru, cara terbaik untuk mengekalkan keseimbangan pada 'vital force' ialah dengan mendekatkan diri kepada Allah agar hati lebih tenang, rohani lebih damai dan mental terpelihara. Kesihatan itu sebenarnya bermula dari dalam ke luar. Sihat hati rohani, sihat jugalah jasad dan 'akal.

Sesekali diuji dengan kesakitan sebenarnya menjadi ibrah terbaik untuk kita menyuburkan sifat kehambaan dalam diri. Sesungguhnya manusia itu lemah, mengharap pada Tuhannya, dan sentiasa layak diuji...bila sakit, perkara pertama yang dicari sepatutnya bukan ubat tetapi istighfar supaya kita sedar sakit itu dari Allah dan kesembuhan itu juga dari Allah. Lagi sakit diri kita sepatutnya lagi hampir kita kepada Pencipta.

Wednesday, August 12, 2009

Walimatul Urus yang Ummi Impikan..


My dearest Itqan...

Tadi, semasa breakfast ummi bersembang dengan muallimah Bibi Ratna..entah bagaimana, soal kenduri kahwin pula yang timbul...Muallimah Bibi nyata sedih dan kesal dengan masyarakat kita yang masih gemar berhabis-habisan wang semasa majlis kenduri...entah apa yang cuba dicari...kepuasan dunia yang sebentarkah? atau rasa bangga dikagumi oleh para tetamukah? apalah gunanya kegembiraan dan perasaan megah yang hanya muncul sebentar...sedangkan barakahnya hilang lesap dibawa angin...alangkah ruginya...entah bagaimana, ummi pula teringatkan impian walimah itqan yang akan ummi selenggarakan kurang lebih dua dekad dari sekarang (jika usia ummi panjang..)

ummi impikan walimah yang sederhana tapi penuh barakah untuk anak perempuan sulung ummi...pada bulan Ramadhan...hah?pasti orang-orang biasa rasa pelik. Kenapa bulan Ramadhan? tak pernah dibuat orang! sapa kata tak pernah? ramai je ikhwah akhwat sefikrah kita di sebelah Indonesia sana yang menumpang barakah bulan Ramadhan untuk membina masjid. Bayangkan sayang...berapa ganda pahala yang Itqan dan suami bakal dapat kerana bernikah dalam bulan yang mulia ini...jika amalan wajib digandakan 70 kali ganda, menyempurnakan sebahagian dari agama pula...pasti lumayan ganjarannya di sisi Allah...

Kendurinya pula, akan Ummi adakan untuk menjamu para tetamu ketika berbuka puasa. Ya, orang-orang yang menghadiri walimahmu kelak adalah di kalangan orang-orang yang berpuasa...orang-orang berpuasa pula amat dicintai Allah...bukankah memberi makan kepada orang-orang berpuasa itu besar ganjarannya...maka berdoalah orang-orang yang berpuasa itu untuk mempelai, anak dan menantu ummi...doa orang yang berpuasa mudah diterima...itulah bekalan azimat ummi untuk itqan dan suami melangkah ke alam rumahtangga kelak...

dan ummi tidak akan lupa mengundang anak-anak yatim untuk turut memeriahkan walimahmu kelak...kerana cintanya ummi kepada anak-anak yatim...ummi akan pastikan doa mereka mengiringi langkahmu ke alam bahagia...

Memang sayang..cabarannya pasti hebat bernikah pada bulan Ramadhan, tapi percayalah ia akan menjadi tarbiah hidup buat dirimu dan suamimu mendidik kekuatan diri, membentuk keunggulan peribadi, mendahulukan hak Allah melebihi hak diri...pasti Itqan kuat menghadapinya...

Itqan sayang,

Jangan sekali-kali Itqan impikan walimah yang dicemari pembaziran...kerana ummi amat membenci pembaziran sebagaimana ummi membenci syaitan...bukankah membazir itu sahabat syaitan...dan sekali-kali jangan kita mengharapkan duit daripada tetamu-tetamu yang datang...tujuan walimah bukan untuk mengutip keuntungan atau mengumpulkan wang untuk cover kos walimah, sebaliknya walimah itu sebagai tanda kesyukuran terbinanya sebuah masjid atas jalan dakwah...demi melahirkan pewaris perjuangan dakwah...

Itqan sayang,

Ummi bersyukur ditemukan jodoh dengan insan yang jelas fikrah islamiyyahnya...yang ummi yakin akan menyokong setiap usaha ummi merealisasikan walimah yang dilatari syarak, dipenuhi barakah dan dilimpahi dengan doa-doa makbul dari kekasih-kekasih Allah...iaitu mereka yang berpuasa....

Ummi tidak berangan-angan kosong sayang...sebagaimana 6 tahun dulu, sewaktu ummi menelaah buku Kepribadian Muslim dan menjumpai kalimah 'Itqan' dulu, terus ummi bertekad untuk menjadikan kalimah itu sebagai nama kepada bakal anak ummi. Padahal pada waktu tu kelibat abi langsung tak ada dalam fikiran ummi... Alhamdulillah...berjaya menjadi kenyataan...dan begitulah dengan angan2 ummi tentang walimah Itqan kelak...

Bercakap tentang Ramadhan...tak sabar menantikan bulan penuh rahmat itu...dan ummi akan hias rumah kita untuk menyambut kedatangan Ramadhan al-Mubarak...