Sukar memperoleh karya yang dapat memenuhi kepuasan intelek, ruhi dan emosiku. Tapi kali ini aku tidak dapat menafikan karya agung seorang penulis dari Indonesia...Andrea Hirata...Lasykar Pelangi, betul-betul berjaya memuaskan naluriku sebagai guru, muallimah juga murabbi...
Kisah bermula di daerah Belitong, Ibu Muslimah dan Pak Harfan tekad untuk meneruskan perjuangan mempertahankan satu-satunya sekolah agama di situ. Cukup teruja melihat pengorbanan dua orang murobbi tabah ini...Sekolah Muhammadiyah yang hanya mempunyai sebuah bangunan kayu yang telah reput di sana-sini dan hampir roboh itu diberi syarat oleh pejabat pendidikan daerah agar mempunyai sekurang-kurangnya 10 orang pelajar untuk meneruskan operasi. Dan, mereka berjaya memenuhi syarat itu dengan mendaftarkan cukup-cukup 10 orang pelajar.
Ibu Muslimah (Ibu Mus) percaya anak-anak miskin juga berhak mendapatkan pendidikan. Justeru dia tegar setia di Sekolah Muhammadiah meskipun ditawarkan gaji yang lebih lumayan di sekolah milik kerajaan di kota.
Suatu hari, hujan turun sangat lebat. Lantai kelas yang tidak bersimen jadi lecak hingga menyebabkan mustahil untuk meneruskan pembelajaran. Anak-anak yang 10 sepuluh orang itu leka pula bermain dengan kambing di dalam ruang kelas sehingga memburukkan lagi keadaan yang sedia lecak. Lalu Pak Harfan selaku pengetua sekolah mengarahkan Ibu Mus menjalankan proses P&P di luar kelas sahaja. Anak-anak yang sepuluh itu dibawa ke tepi pantai dengan menaiki basikal. Di situ mereka melihat pelangi indah terlukis di langit. Lantas Ibu Mus terus menggelar mereka sebagai Lasykar Pelangi.
Anak-anak Lasykar Pelangi itu terdiri daripada pelbagai latar belakang rakyat miskin di Belitong. Namun mereka punyai keazaman dan tekad yang teguh untuk belajar. Cukup tersentuh apabila membaca semangat Lintang yang sanggup berbasikal sejauh 20 km setiap hari meskipun ada hari-hari tertentu dia hanya sempat menyanyikan lagu Padamu negeri pada akhir waktu sekolah.
Syukur, aku bukan sahaja dapat membaca karya Andre Hirata ini menerusi novelnya malah dapat pula menonton karya ini yang telah difilemkan. Terima kasih kepada Hafiz Aris yang telah menghadiahkan CD filem ini yang dibawa langsung dari Indonesia. Aku syorkan kepada semua murobbi, muallim yang telah atau bakal menjadi, supaya menonton karya agung ini...semoga semangat kita jadi makin tajam untuk terus menyumbangkan bakti kepada agama melalui bidang pendidikan yang kita corakkan sendiri.