Monday, November 5, 2007

Tahniah Universiti Kebanggaanku!

USM DUDUKI TANGGA TERATAS DALAM KAJIAN REPUTASI IPTA MALAYSIA

PULAU PINANG – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato’ Dzulkifli bin Abdul Razak mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga USM termasuk pelajar yang telah berusaha gigih sehingga membolehkan USM mencapai menarafan lima bintang sekaligus menduduki senarai teratas dari segi reputasi IPTA di negara ini dalam Kajian Reputasi Akademik dan Hasil Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Awam (Ares 2006) yang dilaksanakan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menerusi satu kaji selidik yang dilakukan sejak 2005.

Menurut laporan akhbar-akhbar nasional hari ini, Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapa Mohamed berkata, pemilihan USM selaku terbaik daripada senarai 17 institusi pengajian tingga awam (IPTA) di Malaysia dibuat berdasarkan pencapaian cemerlang dalam bidang akademik dan sumbangan institusi berkenaan dalam pembangunan bidang penyelidikan di negara ini.Katanya, USM juga banyak memberi sumbangan penyelidikan kepada masyarakat dan faktor-faktor itu telah melayakkan USM menjadi satu-satunya universiti yang berjaya mencapai penilaian lima bintang iaitu yang dikategorikan sebagai cemerlang, sekaligus menduduki senarai teratas dari aspek reputasi IPTA di Malaysia.``Pencapaian USM itu adalah susulan daripada kejayaannya menggungguli skor likert cemerlang dalam empat daripada 10 aspek yang disenaraikan menerusi kaji selidik berkenaan.

``USM turut mendahului universiti lain dalam aspek mempunyai reputasi tenaga akademik fakulti yang paling cemerlang sementara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berada dalam skala baik,’’ katanya.Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis pengisytiharan penubuhan MQA yang dulunya lebih sinonim dengan nama Lembaga Akreditasi Negara (LAN) di Putrajaya, semalam.Beliau turut berkata, USM dipilih sebagai universiti yang menjadi pilihan paling ramai pelajar diikuti Universiti Malaya (UM).

Prof. Datuk Dzulkifli Abdul Razak ketika mengulas tentang perkara tersebut berkata, kejayaan terbaru USM itu disifatkan sebagai kesan daripada pelbagai faktor termasuk setelah diisytiharkan sebagai salah sebuah daripada empat universiti penyelidikan di negara ini.Lebih penting dari itu menurut beliau, kejayaan tersebut lahir dari sokongan, komitmen serta usaha gigih seluruh warga universiti dengan hasrat untuk membawa USM kepada standard yang tersendiri sebagai universiti yang unggul di negara ini. Tambah Dzulkifli, 70 peratus daripada para pensyarah di USM mempunyai kelayakan Doktor Falsafah (PhD) dan ia menjadi antara faktor yang dapat meningkatkan kredibiliti sesbuah universiti.Kajian ini merupakan yang pertama seumpamanya dilaksanakan bagi mendapatkan persepsi ahli akademik, pihak korporat dan majikan terhadap IPTA tempatan dan bakal diadakan secara tahunan.MQA dan beberapa pensyarah dari UKM dan UM telah dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan soal selidik itu dan sepuluh persepsi yang dikemukakan dinilai berdasarkan skor likert satu hingga enam yang bermula daripada terbilang sehingga lemah.

dipetik dari laman web USM: http://www.usm.my

No comments: